Abad ini dikatakan abad kebangkitan Islam yang boleh ditafsirkan 
bahawa akan telepaslah ummat Islam dari belenggu pelbagai masalah merangkumi 
kemunduran ekonomi dan sosial, dan Islam sebagai agama yang akan menjadi pilihan 
dan anutan majoriti umat manusia, umat Islam bakal menjadi model dan dihormati. 
Namun, bercerita tentang kebangkitan Islam seolah-olah ingin diketengahkan satu 
kisah dongeng yang melucukan untuk hiburan bangsa-bangsa dunia. Dari zaman ke 
zaman seolah-olah tanpa penghujung kisah kebangkitan Islam terus menerus 
dikumandangkan sehingga orang yang mendengarnya menjadi bosan dan muak. Islam 
dan umatnya terus terperosok di bawah timbunan herdikan dan gurauan umat lain 
sebab dianggap sebagai umat yang lemah dan jahil. Irama kebangkitan terus 
dimainkan tetapi tiada tanda-tanda yang jelas untuk membuktikan bahawa umat 
Islam mampu kembali ke zaman kegemilangannya. Buktinya, pada hari ini umat Islam 
terpaksa tunduk kepada kekuatan kuasa-kuasa besar yang diketuai oleh Amerika 
Syarikat yang menjadi kuasa raksasa 
dalam 
bidang militari. Manakala dari sudut ekonomi, politik dan sosial pula, mereka 
seolah-olah menjadi “Tuhan” kerana sebahagian besar masyarakat dunia berkiblat 
kepadanya dan mendewa-dewakannya. Kekuasaan mereka seolah-olah tidak dapat 
dikalahkan oleh sesiapa pun. Apakah Allah swt akan terus mendiamkan diri 
terhadap semua kedajjalan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya? 
Sebenarnya Islam dengan kekuatan RAHMAT ajaran Nabi Muhammad saw, akan 
menundukkan mereka dan memimpin dunia ke arah kedamaian dan kemakmuran bagi 
menggantikan dunia yang penuh kezaliman dan keganasan. Tiada sesiapa yang boleh 
menahan zaman kebangkitan Islam sesuai dengan janji Allah swt,  “Dan 
Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta 
alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan 
“Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia 
memenangkanNya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 
29). Ayat-ayat 
suci Al Quran ini mengandungi satu rahsia agung bahawa Allah swt sedang 
mempersiapkan dunia dan zaman baru yang akan dipimpin oleh Islam. Dengan kata 
lain, abad ini adalah akhir 
zaman atau penghujung kepada 
zaman 
kegelapan 
Islam. Pemilik alam ini akan mendatangkan kiamat rohani bagi membasmi segala 
kerosakan agama dan moral manusia, kemudian mewujudkan zaman kebangkitan semula 
Islam yang akan menghidupkan kembali rohani manusia yang telah mati melalui 
cahaya Rahmat ajaran Nabi Muhammad saw. Proses kebangkitan Islam akan 
menyempurnakan janji Allah swt bahawa umat Islam adalah khaira 
ummah 
(umat terbaik) kepada masyarakat dunia, sepertimana firman Allah swt, 
“Kamu 
adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 
111). 
Namun 
begitu, zaman kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terbantut 
disebabkan oleh umat Islam sendiri melakukan kesalahan dan kelalaian yang 
menimbulkan kemurkaan Allah swt. Justeru itu, umat Islam tiada pilihan lain jika 
ingin melihat zaman kebangkitan Islam, mereka perlu mengenal-pasti dan bertaubat 
dari dosa-dosa yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt. Sekaligus membolehkan 
mereka memahami mengapa Allah swt seolah-olah mendiamkan diri untuk membela umat 
Islam yang sedang menghadapi pelbagai bencana dan serangan daripada 
musuh-musuhnya.
No comments:
Post a Comment