Sepertimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa proses 
kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terhambat disebabkan 
oleh perbuatan umat Islam sendiri. Ada sesuatu yang dibenci oleh Allah swt, di 
antaranya adalah perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Kesalahan ini 
merupakan antara dosa yang telah dan sedang menimbulkan kemurkaan Allah swt yang 
amat besar. Umat Islam hari ini mempunyai amalan keji yang amat tidak disukai 
Allah swt seperti amalan dusta dan fitnah serta kekerasan bagi tujuan 
menjatuhkan saudara seagamanya. Disamping itu, sebilangan umat Islam begitu 
mudah menggunakan kata-kata menyesat dan mengkafirkan kelompok Islam yang lain 
jika pendapat dan pandangan pihak lain tidak selari dengan pendapat dan 
pandangan mereka. Bagi memperkukuhkan dakwaan tersebut pelbagai fitnah 
direka-rekakan. Islam memandang keji terhadap fitnah memfitnah sehingga 
mengumpamakan dosa memfitnah itu lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, 
“... 
dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...” (Al Baqarah : 
192).
Sememangnya fitnah memfitnah merupakan senjata yang paling kotor kerana 
kemampuannya mengakibatkan pergaduhan, pembunuhan dan  kerosakan yang tidak disenangi oleh Allah 
swt. Malah Nabi Muhammad saw juga pernah bersabda bahawa dusta 
adalah ibu kepada kejahatan kerana satu dusta akan melahirkan lebih banyak dusta 
untuk menutupi dusta-dusta yang sebelumnya. 
Ini adalah di antara dosa-dosa umat Islam yang telah menimbulkan kemurkaan Allah 
swt kerana menyuburkan kebencian, prasangka buruk, permusuhan, ketidakadilan, 
penganiayaan dan kezaliman sesama Islam. Dosa ini yang menyebabkan permusuhan 
sesama Islam menjadi semakin besar dan telah menghalang umat Islam 
daripada bersatu, pada hal ajaran Islam telah meruntuhkan semua tembok pemisah 
bagi membentuk ukhuwah 
Islamiyah. 
Atas dasar itu, Allah swt memberi pelbagai perintah dan peringatan kepada umat 
Islam untuk menyelamatkan mereka daripada permusuhan sesama sendiri dan 
mengelakkan orang Islam menjadi pengikut kepada golongan yang dimurkai Allah 
swt. 
No comments:
Post a Comment