Monday, 21 January 2013

Tokoh-tokoh Suci Difatwakan Murtad


Kebiadaban merosak dan membakar masjid telah menimbulkan kemurkaan Allah swt dan Dia telah mendatangkan azab yang sangat pedih kepada beberapa kumpulan atau Jemaah Islam dan bahangazab itu juga turut dirasai oleh penduduk negara berkenaan. Hal ini terjadi di Pakistan, Bangladesh dan Indonesia apabila ada segelintir pihak pelampau agama Islam dari sesebuah Jemaah mengkafirkan kelompok Islam yang lain lalu menyerang dan membakar masjid mereka. Lebih memilukan lagi mereka melaungkan nama Allah Yang Maha Besar sewaktu melakukan kerosakan tersebut. Perbuatan terkutuk ini tidak kurang hebatnya untuk mengundang kemurkaan Allah swt kerana pada pandanganNya selagi seseorang mengaku sebagai Islam dengan mengucapkan Kalimah Syahadah, individu atau kelompok tersebut adalah Islam. Perhatikan mana-mana negara Islam di mana perkara ini berlaku, negara tersebut tidak akan menikmati kemakmuran kerana Allah swt melaknat mereka. Allah swt juga murka terhadap umat Islam yang tidak mencegah penganiayaan tersebut dengan membiarkan saudara Islamnya melakukan kezaliman sehingga berlakunya penganiayaan dan pembunuhan. Allah swt berfirman, “Dan barangsiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah jahanam: ia akan menetap di dalamnya. Dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya dan menyediakan baginya azab yang sangat besar.”  (An Nisaa’ : 94).

Pembunuhan sesama Islam adalah merupakan di antara dosa besar yang sering dilakukan oleh sebilangan umat Islam. Oleh itu janganlah merasa hairan melihat kekacauan dan kemunduran kebanyakan negara Islam pada hari ini kerana semua ini ada kaitan dengan dosa yang pernah dan sedang mereka lakukan. Perkara ini juga telah menimpa beberapa tokoh suci Islam yang disanjungi seperti cucu kesayangan Rasulullah saw iaitu putera kepada Hazrat Khalifah Ali ra (khaatam-ul-auliya)yakni Imam Hussein, terpisah badan dan kepalanya akibat fatwa yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulama. Begitu juga Imam Shafie (juga digelar sebagai khaatam-ul-auliya), Imam al Bukhari, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ghazali dan beberapa tokoh ulama Islam yang lain. Mereka dikafirkan dan dituduh sesat kerana pandangan mereka yang bersifat progresif bertentangan dengan sekumpulan para ulama berfikiran sempit pada waktu itu. Perbezaan pendapat ini menyebabkan para ulama tersebut tersinggung dan mereka cipta pelbagai fitnah dan mengeluarkan fatwa untuk menuduh tokoh-tokoh suci Islam tersebut sebagai murtad, kafir dan sesat sehingga kerajaan dan masyarakat terikut-ikut melakukan penganiayaan dan kezaliman ke atas mereka. Umat Islam wajib berhati-hati dengan permainan kotor ini kerana jika tokoh-tokoh suci tersebut mudah dikafirkan dan dimurtadkan oleh para ulama, sudah tentu di zaman ini pasti para ulama yang kotor hatinya mudah memerangkap masyarakat Islam untuk mempercayai sesebuah kumpulan Islam atau seseorang dikatakan sesat dan kafir. Oleh itu umat Islam perlu berwaspada apabila berdepan dengan perkara ini kerana janganlah mengulangi dosa-dosa umat Islam terdahulu yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt.

No comments:

Post a Comment