Ibu yang solehah adalah cara
terbaik melahirkan keturunan yang baik
Berhubung dengan tarbiyat,
pertama sekali Islam telah meletakkan asas iaitu lelaki harus mencari pasangan
yang kuat agamanya dan wanita juga diseru supaya menjadi orang yang kuat
berpegang pada agama, kerana tanpa hal itu dia tidak mempunyai kebolehan dalam
mendidik anak-anak. Al-Qur’an Karim ada menyatakan
YUKHRIJUL HAIYI MINAL MAIYITI WA YUKHRIJUL MAIYITA
MINAL HAIYI yang bermaksud Tuhan mengeluarkan (melahirkan) kehidupan
daripada kematian dan mengeluarkan kematian daripada kehidupan. Kadang-kadang
terjadi, walaupun hakikatnya ibu bapa tidak baik, tetapi anak-anak mereka adalah
anak yang baik dan ada ibu bapa yang dipercayai ibu bapa yang baik, namun
anak-anak mereka adalah anak yang tidak baik (jahat), malah Tuhan telah memberi
amaran kepada orang Islam pada satu segi dan dari segi yang lain menghindari
mereka daripada kekecewaan dengan memberikan beberapa contoh dalam Al-Qur’an,
iaitu bagaimana dari sebuah rumah yang baik, lahir anak yang tidak baik, dan
dari sebuah rumah yang tidak baik pula boleh lahir keturunan yang baik-baik.
Tetapi umumya, untuk melahirkan anak yang baik berserta dengan didikan dan
tarbiyat yang suci adalah terletak pada kepakaran seorang ibu yang kuat
keagamaannya. Dapat dirumuskan bahawa 90 peratus anak-anak yang baik adalah
hasil didikan ibu-ibu yang kuat pegangan agamanya. Di bawah jagaan seorang ibu
yang baik, anak itu bukan sahaja melihat ibunya siang malam sibuk dengan
amalan-amalan baik (solat, puasa, tilawah Al-Qur’an, sedekah dan pekerjaan agama
yang lain serta kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya) malah sebagaimana dia
melihat amalan ibunya, ibunya juga melihat perbuatan anaknya siang dan malam di
samping menegur dan menasihatinya dengan penuh kasih saying seandainya ada
perbuatan yang bertentangan dengan kebiasaan agama.
Perbuatan baik seorang ibu yang
menarik hati adalah satu uswah bagi seorang anak. Ucapan lembut seorang
ibu ibarat titisan madu dan penawar yang terus-menerus menitis ke dalam telinga
seorang anak yang amat berpengaruh pada daging, tulang dan darahnya.
Alangkah baiknya jika dunia
memahami hakikat ini! Alangkah bahagianya jika pemimpin sesuatu kaum
mengetahuinya! Alangkah beruntungnya jika ketua keluarga, tuan rumah, ibu-ibu
dapat mengimplementasikannya. Dan juga jika anak-anak itu sendiri yang
menghayatinya bahawa tarbiyat yang terbaik, senjatanya ialah ibu.
Jadi, wahai saudara dan saudari
yang bernaung di bawah bendera Nur Ilahi! Wahai ibu-ibu dan wanita-wanita yang
bakal menjadi ibu! Jika mahu menyelamatkan kaum daripada terperosok ke dalam
lembah yang hina dan menuju kepada kemajuan yang tinggi, maka dengarlah dan
ingatlah bahawa tidak ada jalan yang terbaik selain kamu menjadikan pangkuan
kamu sebagai buaian yang baik, dari dalam pangkuan itu kamu lahirkan satu
mutiara yang dapat menghapuskan kejahatan dan mengembangkan kebaikan serta yang
dapat menghalau syaitan sejauh-jauhnya, juga yang dapat menarik insan ke arah
Tuhan yang Rahman.
No comments:
Post a Comment